Design a site like this with WordPress.com
Get started

Journal MM Day 10

Hari pertama amalkan jurus Garpu Tala (tuning fork) Pak Nasrullah. Buka-buka Al-Quran nampak ini :

۞وَإِذَا مَسَّ ٱلۡإِنسَٰنَ ضُرّٞ دَعَا رَبَّهُۥ مُنِيبًا إِلَيۡهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُۥ نِعۡمَةٗ مِّنۡهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدۡعُوٓاْ إِلَيۡهِ مِن قَبۡلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادٗا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِۦۚ قُلۡ تَمَتَّعۡ بِكُفۡرِكَ قَلِيلًا إِنَّكَ مِنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلنَّارِ

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

(Surah Az-Zumar, Ayat 8)

Aduh.. rasa kena tampar sungguh2. Menggigil mohon Allah ampunkan kekhilafan. Terus cari tadabbur ayat tersebut.

Tafsir Surah Zumar Ayat 8 – 10 (Buat syirik selepas doa)

Ayat 8: AyatZajrun. Sekarang Allah memberikan ayat ancaman pula sebagai peringatan kepada kita.

Ingatlah bahawa apabila manusia buat syirik, maka bala akan menyusul. Oleh itu, bala yang kita terima adalah kerana disebabkan dosa yang kita lakukan atau sebagai ujian dari Allah untuk orang yang beriman.

Malangnya sekarang manusia banyak cuba menolak bala dengan doa sambil telungkup tangan seperti yang kadang-kadang dibuat oleh imam-imam di masjid-masjid. Mereka itu doa ‘tolak bala’.

Itu tidak pernah diajar oleh Nabi dan tidak dibuat oleh sahabat. Bala yang Allah beri itu adalah kerana dosa yang dibuat oleh manusia. Maka sepatutnya manusia kena minta ampun dari dosa dia. Bukannya tambah dosa lagi dengan buat amal bidaah.

Telah disebut dalam Al-Qur’an bahawa sahaja musibah yang kena pada kita, yang berbagai-bagai macam musibah, seperti perniagaan jatuh dan sebagainya, adalah kerana hasil kerja tangan manusia. Akan tetapi dosa-dosa kita banyak yang telah diampunkan apabila Allah SWT turunkan musibah kepada kita – apabila kita sabar dengan musibah itu, dosa-dosa kecil yang kita telah lakukan akan diampunkan.

Hanya dosa besar sahaja yang tidak diampunkan lagi. Untuk mendapatkan keampunan dari Allah atas dosa besar itu, kita kena mohon doa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa itu secara khusus. Tak cukup dengan kata: ‘Ya Allah, ampunkanlah dosa aku.’

Antara dosa yang perlu kita minta ampun adalah dosa syirik kepada Allah. Dosa syirik adalah amat berat sekali tapi masih lagi boleh diampunkan, tapi kita kena mohon doa supaya diampunkan dengan ikhlas hati kepada Allah.

۞ وَإِذا مَسَّ الإِنسٰنَ ضُرٌّ دَعا رَبَّهُ مُنيبًا إِلَيهِ ثُمَّ إِذا خَوَّلَهُ نِعمَةً مِّنهُ نَسِيَ ما كانَ يَدعو إِلَيهِ مِن قَبلُ وَجَعَلَ ِللهِ أَندادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبيلِهِ ۚ قُل تَمَتَّع بِكُفرِكَ قَليلًا ۖ إِنَّكَ مِن أَصحٰبِ النّارِ

Sahih International

And when adversity touches man, he calls upon his Lord, turning to Him [alone]; then when He bestows on him a favor from Himself, he forgets Him whom he called upon before, and he attributes to Allah equals to mislead [people] from His way. Say, “Enjoy your disbelief for a little; indeed, you are of the companions of the Fire.”

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.

 وَإِذَا مَسَّ الْإِنْسٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ

Apabila dikenakan kepada insan kufur itu bala musibah, dia berdoa kepada Allah, sifatnya condong menghampiri kepada Allah.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini asalnya merujuk kepada orang Mekah jahiliah. Mereka pun ada juga berdoa kepada Allah. Ini adalah kerana memang mereka kenal Allah pun, bukannya tidak kenal. Kalau mereka ada musibah, mereka akan berdoa hanya kepada Allah sahaja. Mereka akan meninggalkan sembahan dan doa kepada selain Allah.

Begitu jugalah orang kita pun ada juga berdoa kepada Allah. Apabila seseorang itu telah ditimpa musibah kesusahan, mulalah dia jadi baik sekejap, berkopiah atau berserban. Dulu masa dia senang, sihat, dia tidak ingat Allah. Dia hanya menghabiskan masa dengan bersuka-sukaan sahaja. Tak ingat nak belajar agama, tak ingat nak solat, tak ingat nak pergi masjid.

Tapi bila sudah kena musibah, baru dia tahu langit tinggi rendah. Mulalah dia nak kenal solat. Mulalah dia hendak mendekatkan diri dengan surau dan masjid. Kalau bercakap dengan orang pun, baik-baik sahaja, lembut sahaja.

Selalu juga kita jumpa orang yang macam ini, bukan? Tiba-tiba dia jadi baik apabila ada masalah, jadi warak tiba-tiba. Solat pun khusyuk. Kalau berdoa pun lama. Iaitu berlainan dari dirinya yang dulu.

ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِنْ قَبْلُ

Kemudian apabila (Allah) berikan kepadanya nikmat yang baru, dia lupa terus apa yang dia pernah doa  kepadaNya sebelum ini,

Allah beri kesusahan sekejap sahaja. Selepas beberapa lama, masalah dia akan selesai. Allah yang selesaikan masalah dia. Apabila keadaannya sudah berubah kepada baik, dia sudah lupa kepada Allah, lupa kepada musibah yang dia kena dulu.

Maksud ‘dia lupa’ itu adalah dia buat syirik kembali. Dia lupa yang dia dulu telah berdoa kepada Allah dan masalah yang dia hadapi itu diselesaikan oleh Allah. Patutnya dia teruslah ibadat dan doa kepada Allah sahaja, bukan? Tapi tidak begitu. Ini kerana dia lupa dia dulu telah doa terus kepada Allah.

Begitulah juga dengan orang kita. Apabila sudah jadi baik balik, dia sudah buang kopiah dan serban yang dipakainya sebelum itu. Sudah balik kepada keadaannya yang asal sebelum kena musibah itu.

Padahal, sebelum itu kepada Allahlah dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Menitik-nitik air mata dia semasa berdoa waktu itu. Tapi bila masalah dia sudah selesai, dia terus lupa yang dulu dia telah berdoa kepada Allah meminta dan merayu supaya masalah yang sedang dihadapinya itu diselesaikan oleh Allah. Dia lupa yang dari doanya itu, masalahnya telah diselesaikan oleh Allah.

Perkataan خَوَّلَ bermaksud ‘diselimuti’. Ada banyak selimut yang meliputi kita. Roh kita diselimuti oleh tubuh kita. Tubuh kita diselimuti dengan baju. Kita diselimuti oleh rumah. Rumah kita dengan kawasan perumahan kita. Kemudian diselimuti oleh negara kita. Negara kita diselimuti oleh planet bumi. Planet diselimuti oleh langit pertama, langit kedua dan seterusnya. Berapa banyak nikmat telah Allah selimutkan diri kita.

Kadang-kadang apabila kita dalam selimut, kita tidak perasan selimut itu. Pada hari Akhirat nanti, semua yang menyeliputi itu akan dicabut satu persatu dan roh kita akan berdiri di hadapan Allah untuk menemuinya.

Begitulah, kita tidak perasan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita selama hari ini, kerana kita dari kecil dapat nikmat. Apabila ditarik sekejap nikmat itu, barulah perasan nikmat sudah tiada.

وَجَعَلَ ِللهِ أَنْدَادًا لِّيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِهِ

Kemudian dia jadikan sekutu-sekutu bagi Allah yang memesongkannya  daripada jalan Allah.

Apabila musibah sudah diangkat, dia buat syirik pula kepada Allah. Bagaimanakah ini boleh terjadi?

Contoh: Ketika perniagaannya jatuh dahulu, dia telah jumpa seseorang dan orang itu beritahu dia, kalau nak pulihkan semula perniagaan, kena jumpa tok guru ini, tok guru itu. Dia pun pergilah bertemu tok-tok guru tersebut dan mungkin tok guru itu telah mandikan dia dengan ‘mandi tolak bala’, ‘mandi bunga’ dan sebagainya.

Kebetulan, semenjak dimandikan oleh tok guru tersebut, perniagaan dia kembali pulih, semangat dia pun kembali naik. Kalau dulu dia tak sihat, sudah lega sekarang. Apabila terjadi begitu, dia tak kata Allah yang memulihkan dia, tapi dia kata ‘tok guru’ itu yang pulihkan dia. Iaitu tempat yang dia mandi bunga, mandi tolak bala dulu. Inilah syirik kerana menduakan Allah. Allah yang selesaikan musibah dia tapi dia kata orang lain pula seolah-olah orang itu adalah Allah.

Ramai orang buat begini pada zaman dahulu. Zaman sekarang, mungkin tidak mandi tolak bala lagi, tapi kesyirikan dilakukan dengan cara-cara lain pula. Mereka jumpa tok guru untuk ‘tolak bala’ dengan minta ustaz atau mana-mana orang untuk doakan untuk mereka diangkat bala musibah.

Yang mereka tak cakap adalah berapa banyak upah yang mereka telah beri kepada guru itu. Kerana guru atau ‘ustaz’ yang sebegitu, mereka memang buat duit dengan cara mendoakan orang lain.

Dalam masyarakat kita, sampai ada yang beri kereta mereka yang baru dibeli untuk dimandikan oleh tok guru dan melakukan berbagai-bagai perkara yang mengarut-ngarut. Pada mereka, dengan dimandikan kereta itu dengan air jampi guru itu, atau guru itu memakai dahulu kereta itu, maka kereta itu akan terselamat dari musibah.

Inilah yang dinamakan ‘andada,’ iaitu sekutu-sekutu kepada Tuhan. Kerana Allahlah yang mengangkat musibah itu dari mereka, tapi mereka kata guru/ustaz/bomoh yang telah menyelamatkan mereka. Allah terpaksa ‘bertanding’ pula dengan makhluk untuk mendapat pujian dari manusia. Ini tidak patut sama sekali. Ini adalah fahaman syirik.

Malangnya banyak perkara sebegini diajar oleh tok guru dan ustaz. Tok guru itu sendiri pun sebenarnya tak tahu dia telah buat syirik kepada Tuhan. Dia pula yang jadi penganjur kepada perbuatan itu, padahal sepatutnya dialah yang  sepatutnya mengajar perkara-perkara yang benar.

Sepatutnya dialah yang cakap yang perbuatan itu adalah salah. Sepatutnya dialah yang ajar kepada mereka yang datang minta doa itu supaya doa sendiri sahaja kepada Allah, tak payah minta orang lain doakan. Kerana kalau buat juga, samalah seperti apa yang dibuat oleh agama-agama lain yang melakukan sesuatu amalan untuk tolak bala, tolak sial dan sebagainya.

Sebagai contoh, penganut Hindu akan pergi jumpa sami mereka untuk minta sami itu doakan untuk mereka. Malangnya, kita pun begitu juga. Akhirnya, sama sahaja akidah kita dengan agama kufur yang lain. Mereka ada tolak bala, kita pun nak ada tolak bala juga. Tok guru dan ustaz pula yang ganti jadi tok sami.

Atau ada yang kata cincin atau tangkal yang dia pakailah yang telah menghilangkan musibah yang jatuh kepada mereka. Kalaulah kebetulan nasibnya berubah selepas dia pakai cincin atau tangkal itu, tidaklah ia membuktikan kebenaran atas apa yang telah dilakukannya itu. Macam mereka yang pakai Kavadi masa Thaipusam, cucuk sana sini, tapi selamat, tidak luka sedikitpun. Atau penyembah berhala pada zaman jahiliah dulu yang tidak dikenakan bala kepada mereka.

Maka, jika perbuatan salah yang dilakukan oleh seseorang tidak dijatuhkan bala oleh Allah sebaik sahaja mereka lakukan, malah ‘menjadi’ pula apa yang mereka kehendaki, tidaklah itu memberi tanda bahawa tidak salah perbuatan itu.

Allah hanya membiarkan sahaja mereka di dalam kesesatan tanpa menurunkan bala terus. Allah benarkan ia terjadi tetapi Allah tidak redha. Allah sanggup tunggu mereka mati dan kemudian baru mereka akan diazab di akhirat kelak.

Banyak lagi amalan syirik dan khurafat diamalkan oleh masyarakat Islam kita. Antaranya mereka ada barang-barang hikmat. Seperti cincin atau alat-alat keramat yang mereka simpan dalam kain kuning. Bukan dalam simpanan yang biasa. Kerana pada mereka, benda-benda keramat itu kena simpan dalam kain kuning.

Kadang-kadang mereka akan perasap pada malam-malam tertentu. Bermakna, mereka ada memuja benda-benda itu. Itu adalah amalan khurafat dan amalan syirik. Tapi kenapakah guru-guru agama di negara kita tidak berani nak tegur perkara ini secara berdepan? Ke mana perginya mufti-mufti di negara ini? Susah hendak tegur kerana kalau ditegur, masyarakat akan melenting kerana lebih ramai yang jahil dari yang pandai.

Dan kenapa ayat ini mengatakan mereka juga memesongkan orang lain? Kerana orang-orang sebegini bukan sahaja telah terpesong, tapi mereka juga memesongkan orang lain yang melihat mereka. Kerana kalau mereka nampak berjaya, orang lain pun nak jadi macam dia juga.

Orang lain akan bertanya, siapa yang kau jumpa sampai kau boleh dapat begini, begitu? Mereka pun cakaplah mereka berjaya pulih kerana orang ini, orang itu. Yang bertanya itu pun akan pergi kepada ustaz yang sama, bomoh yang sama dan sebagainya. Akhirnya, semakin ramai yang akan sesat.

Manusia memang suka nak ikut orang lain tanpa usul periksa. Ini adalah kerana kejahilan yang berleluasa dalam masyarakat kita. Ramai yang pakai ikut sahaja amalan orang lain.

قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحٰبِ النَّارِ

Kata kepada mereka: bersenang-senanglah dengan kekafiran kamu untuk sementara. Sesungguhnya kamu adalah penghuni tetap neraka.

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Allah beritahu dalam ayat ini bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur. Dan Allah suruh Nabi Muhammad sampaikan kepada mereka untuk bersenang-senang buat sementara waktu sementara masih hidup. Berseronoklah dalam kehidupan dunia ini selagi mereka boleh.

Sebab itu kalau kita tengok orang yang mengamalkan syirik, selalunya hidup mereka akan senang sahaja. Hidup mereka nampak macam senang lenang sahaja. Ini kerana memang Allah beri kesenangan kepada mereka selama mereka di dunia.

Tapi di akhirat nanti, mereka akan mendapat azab yang kekal. Maka jangan kita tertipu melihat kesenangan mereka. Jangan kita ikut mereka pula. Jangan pula sangka yang Allah beri rahmat kepada mereka.

Biarlah dia seronok kerana dia tetap akan masuk neraka, maka dia dibiarkan Allah dalam kesesatan. Biar dia terus mengumpul dosa selama dia hidup. Supaya apabila mereka masuk ke alam akhirat nanti, mereka tidak ada hujah lagi hendak menyatakan mereka tidak bersalah.

Allah kata apa sahaja yang mereka lakukan dan dapat, itu hanya ‘sedikit’ sahaja. Mereka sahaja sangka mereka dapat banyak kelebihan, tapi Allah beritahu itu sedikit sahaja. Tidak berbaloi kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima. Kesenangan yang sedikit, tapi azab yang berterusan selama-lamanya.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal dalam neraka selama-lamanya. Adakah berbaloi? Tentu tidak, bukan?

Sumber : https://celiktafsir.net/2013/07/19/zumar-ayat-8-10/

Advertisement

Published by Editor

Storyteller

%d bloggers like this: